
RAYA DENGAN SELAMAT
Ramai daripada klien yang datang kepada kami menceritakan pengalaman yang sama. Aduan mereka tidak dipercayai. Apa lagi jika pelakunya orang yang nampak baik di mata keluarga.
“Takkanlah dia buat macam tu..”
“Salah faham je ni..”
“Sensitif sangatlah, atau pun perasaan sendiri je..”
Lamalah mereka menyimpannya sehingga akhirnya emosi dan kehidupan semakin serabut. Bila datang berjumpa dengan kita, setelah diteroka akhirnya kembali kepada pengalaman buruk ni sebagai antara punca besar.
Gangguan seksual atau amang seksual di kalangan ahli keluarga bukan perkara yang rendah kemungkinan berlaku ye tuan-tuan dan puan-puan. Statistik menunjukkan 80% pelakunya adalah di kalangan mereka yang dikenali termasuklah ahli keluarga.
Seorang klien menceritakan beliau tak berani nak bercerita bimbang orang tidak percaya. Namun diberanikan diri juga bila dah tak larat nak tanggung beban emosinya. Diberitahu kepada ibu beliau dan syukur ibunya mempercayai apa yang diceritakan.
“Rasa seperti satu beban yang sangat berat hilang, ringan bahu saya, kepala saya dan dada saya bila ibu percaya apa yang saya cakap”
Bersedialah untuk mendengar walaupun pahit. Walaupun ada rasa was-was. Terima sahaja dahulu dan kemudian siasatlah. Bukan mudah untuk mangsa meluahkan sebenarnya. Reaksi pertama kita sangat penting sebagai sokongan kepada mereka.
Sentiasalah menjaga batas-batas pergaulan apabila berkumpul bersama sanak saudara. Ambillah langkah berjaga-jaga, biasakan yang betul agar nasi tidak menjadi bubur. Semoga pertemuan itu menjadi kenangan manis buat semua dan tidaklah berakhir dengan trauma kepada mana-mana ahli keluarga.
#terataiuntukummah
#HentikanKeganasanRumahTangga
#selamatharirayaaidilfitri2022