Setiap Orang Berhak Untuk Berasa Selamat Sepanjang Masa.

Setiap orang berhak untuk berasa selamat sepanjang masa. Sekiranya seseorang mengugut untuk melakukan keganasan fizikal atau seksual terhadap anda dan membuat anda berasa tidak selesa atau tidak selamat, maka ia juga merupakan satu bentuk penderaan seksual, walaupun perbuatan tersebut masih belum berlaku.

Isu yang tular baru-baru ini, mengenai seorang guru lelaki membuat jenaka berbentuk lucah dan telah didedahkan oleh seorang pelajar perempuan telah membuka mata banyak pihak. Lebih menyedihkan lagi, isu ini sebenarnya bukan lagi satu isu baru tapi telah lama membarah dalam masyarakat dan dinormalisasikan.

Agama Islam sendiri menganjurkan umatnya agar mengucapkan perkataan yang baik dan jika tidak, diam adalah lebih baik. Rogol adalah suatu jenayah, bahkan merupakan suatu perbuatan keji yang tidak bermoral dan bertentangan dengan syariat kerana jelas ia memusnahkan maqasid. Maka, atas apa jua alasan pun, rogol tidak pernah sesuai untuk dijadikan bahan jenaka apatah lagi ugutan.

Selain itu, ancaman untuk melakukan rogol ke atas seorang wanita tidak harus dibenarkan berlaku apatah lagi jika ancaman tersebut ditujukan kepada kanak-kanak atau remaja. Apabila seorang guru lelaki 'mencadangkan' agar rogol dilakukan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan 'cadangan' tersebut disusuli pula dengan ancaman rogol daripada pelajar lelaki lain selepas perkara tersebut didedahkan di media masa, maka perkara ini bukan suatu perkara enteng lagi kerana ia mendatangkan kesan ketidaktenteraman kepada individu yang diugut.

Pada masa yang sama juga, ancaman-ancaman atau buli siber yang timbul selepas pendedahan tersebut dibuat juga perlu dikekang dan dihentikan segera. Segala tohmahan, komen menjelikkan dan ejekan mengenai penampilan pelajar tersebut tidak seharusnya berlaku. Apapun yang dipakai oleh mangsa tidak menjadikan dia bertanggungjawab terhadap jenayah yang berlaku terhadap dirinya. Jenayah tetap satu jenayah tidak kira apa yang mangsa pakai atau bagaimana mereka bertindak.

Justeru, TERATAI menggesa agar:
1. Pihak berkuasa memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan segera dalam menjalankan siasatan.
2. Pihak sekolah mengenal pasti setiap elemen buli dan mengambil tindakan tegas bagi membendung sebarang bentuk buli di sekolah tanpa mengira siapa pelakunya.

#MakeSchoolASaferPlace
#StandUpSpeakOut

————————————————————————
INFAQ RAMADHAN untuk Tabung Pembelaan Wanita dan Kanak-kanak TERATAI

Ayuh sertai dan sokong misi TERATAI untuk menjalankan usaha advokasi dan memberikan perlindungan, khidmat guaman dan kaunseling kepada ibu dan anak-anak yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

⬇️ Sila klik untuk memberikan sumbangan:
https://www.billplz.com/DanaTeratai
https://www.billplz.com/DanaTeratai

Terima kasih atas keprihatinan semua. Semoga Allah memberi sebaik-baik ganjaran atas sumbangan anda.